Tuesday, May 29, 2012

Esei Kumpulan ( INTEGRASI ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN : PERUBAHAN PERANAN GURU )


1.0       PENDAHULUAN
Pendidikan ialah proses dan aktiviti yang bertujuan membawa perubahan kepada seseorang individu  mengikut norma dan nilai  sesuatu masyarakat. Guru  bertangggungjawab dalam memberi pendidikan  dan menghasilkan perubahan tingkah laku ke  pelajarnya dalam mencapai Falsafah Pendidikan Negara. Ledakan ICT telah menyebabkan kualiti perkhidmatan  dan peranan guru berubah. Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti perubahan peranan guru kesan integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran  ( p& p).   Guru perlu peka dengan perubahan  dengan ICT yang memberi kesan kepada  budaya pendidikan. Maka secara tidak langsung keadaan ini  mendesak perubahan  peranan guru. Sampel kajian terdiri daripada 10 orang guru yang mengajar di sekolah menengah di luar bandar. Data daripada guru diperoleh diperolehi dengan mengedarkan set soalan soal selidik yang perlu dijawab secara bertulis. Antara perubahan peranan guru  kesan integrasi  ICT dalam   p & p ialah peranan guru yang lebih besar seperti  keperluan menggunakan kemahiran  dan pengetahuan ICT dalam  p & p, keperluan menguasai dan mempunyai kemahiran dan pengetahuan ICT dalam p &  dan , merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar.  

2.0       LATAR BELAKANG
Globalisasi telah membawa perubahan dalam budaya, sosial dan Globalisasi ialah satu ideologi perubahan budaya, sosial,dan politik yang dicetuskan oleh kemajuan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Globalisasi telah menyebabkan wujudnya konsep dunia tanpa sempadan, konsep liberalisasi maklumat, konsep pembelajaran global dan konsep perubahan tingkah laku(Nesbit & Adesope 2006). Justeru, ICT telah memberi kesan  yang besar ke atas anjakan perubahan sistem pengurusan pendidikan di negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia.
            ICT  ialah pelbagai bentuk alat dan sistem yang digunakan dalam memproses, mengurus, memanipulasi, memindah, menyimpan dan menyebarkan maklumat melalui media elektronik.  ICT kini  digunakan dalam hampir semua aspek kehidupan dan pengaruhnya dijangkakan akan membawa impak yg lebih besar terhadap dunia akan datang.   Maksud integrasi ICT dalam p & p  ialah penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Integrasi ICT dalam p & p dilihat dari dua aspek iaitu  aspek pengajaran yang bermaksud guru menggunakan ICT dan aspek pembelajaran bermaksud murid menggunakan ICT.  Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2001), manfaat yang   diperolehi daripada ICT dalam pembelajaran adalah seperti berikut: 
(a) guru berupaya meningkatkan  kefahaman dan penguasaan murid  terhadap pelajaran; 
(b) maklumat pelajar yang terdiri daripada pelbagai keupayaan dapat  diberikan dengan peluang pembelajaran yang sama; 
(c)  motivasi murid-murid dapat ditingkatkan lagi; 
(d) penggunaan ICT dalam pembelajaran dapat mewujudkan suasana  pembelajaran yang       menyeronokkan dan mencabar; 
(e)  daya kreativiti dan imaginasi murid dapat dipertingkatkan lagi; 
(f) murid-murid dapat belajar secara berkesan dengan bimbingan yang  minimum; dan
(g) kemahiran ICT murid-murid dapat dipertingkatkan lagi.
            Manakala dalam konteks ICT dalam pengajaran, ICT digunakan sebagai alat  persembahan dan alat demonstrasi  serta menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2001)  tetapi tiada  cara tertentu  yang boleh dikatakan sebagai cara  terbaik dan mesti digunakan dalam penggunaan ICT dalam p & p. Malah, pendekatan yang terbaik ialah apabila penggunaan ICT sesuai dengan keperluan murid, serta dapat  membuahkan hasil yang diharapkan dalam jangka masa yang munasabah

            Penggunaan teknologi hendaklah  digabung jalinkan  bersama pedagogi tertentu. Guru perlu mengintegrasi ICT untuk memberi nilai tambah kepada aktiviti p &p.  ICT dalam p & p  akan membawa kepada kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan penilaian. Holmes (1999) memberikan pandangan bahawa integrasi teknologi dalam p & p  memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi dalam kaedah pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar. Mempelajari bagaimana menggunakan komputer belum mencukupi untuk membolehkan guru menggabungkan teknologi dalam P&P. Elemen yang penting dalam mengintegrasi teknologi ialah pemahaman guru terhadap isi pengajaran dan implikasi berhubung dengan teknologi.
            Pada tahun 2001, Kementerian Pendidikan telah mengemukakan tiga dasar penting berkaitan pengunaan ICT. Dasar ini melibatkan (i) kepentingan literasi ICT untuk semua pelajar, (ii) keutamaan peranan dan fungsi ICT sebagai kurikulum serta alat  p & p dan (iii) kegunaan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan  sistem pengurusan. Dasar - dasar ini menunjukkan sistem pendidikan negara ini mengutamakan pengunaan ICT dalam p& p di sekolah - sekolah. Oleh sebab ini,  guru terlibat secara langsung dengan dasar bagi mencapai tujuan dasar. 
            Dalam Buku Panduan KBSR ada dinyatakan,"walau bagaimanapun sama ada perubahan  yang dicadangkan itu akan menjadi kenyataan atau tidak, adalah bergantung kepada peranan  yang dimainkan oleh setiap guru. (Abd. Aziz 2000) menyebut guru sebagai pelaksana perubahan dalam kurikulum mestilah  seorang yang  bersifat  positif dalam segala hal. Mereka perlu mempunyai kreativiti yang  tinggi terutamanya dalam penciptaan alat dan bahan pengajaran, peka dalam hal perubahan perubahan dan pembaharuan-pembaharuan terutamanya menggunakan pendekatan atau  kaedah - kaedah p & p  serta aktif dalam tugasnya di bilik darjah  berhubung dengan pengelolaan, pengurusan dan pengawasan aktiviti yang berjalan dalam  bilik darjah.
            Kini kualiti perkhidmatan perlu ditingkatkan  dan pelanggan pendidikan mendesak  peningkatan mutu perkhidmataan. Oleh itu, seseorang guru perlu memberi perkhidmatan  bermutu, kemahiran yang pelbagai  dengan tanggapan yang luas dan mendalam. Guru - guru   perlu peka dengan sebarang perubahan, budaya pendidikan, misi pendidikan dan bersedia menerima  perubahan menggunakan  peralatan canggih. Faktor - faktor memerlukan  guru  agar berubah mengikut perkembangan semasa. Guru - guru  perlu peka dan bertindak kepada perubahan supaya perubahan tidak  membawa padah yang buruk (Zainal Abidin,1999)
            Guru berperanan dalam mewujudkan persekitaran ICT yang kondusif untuk semua pelajar, dimana ICT diintegrasikan menjadi sebahagian proses  p & p  di sekolah sebagaimana teknologi tersebut menjadi sebahagian daripada pengalaman pelajar di luar sekolah. (Norton & Wiburg 2003). Guru juga perlu mengatasi pelbagai cabaran antaranya dari segi perubahan peranan guru, amalan - amalan pengajaran, penguasaan pengetahuan serta kemahiran - kemahiran ICT. Kejayaan pelaksanaan inovasi dalam pendidikan bergantung kepada kemampuan guru - guru  menumpukan peranan mereka dan menguasai pengetahuan serta lain-lain kemahiran.

3.0       PENYATAAN MASALAH
Cabaran mengintegrasi ICT di  bilik darjah merupakan cabaran kemanusiaan berbanding mengatasi cabaran teknologi seperti peralatan dan kemudahan ICT. Pada asasnya, cabaran bukan hanya berkaitan dengan membantu guru mengoperasi alat teknologi tetapi membantu guru-guru  memperoleh pengetahuan dan kemahiran bagi mengintegrasi teknologi dalam pengajaran mereka.  Oleh itu,  peranan guru  juga  mengalami transformasi. Guru-guru  memainkan peranan penting dalam  bilik darjah yang mana guru memerlukan tugas dan tanggungjawab yang mencabar.  Guru - guru perlu mengatasi  pelbagai cabaran terutama dari segi  perubahan dari segi peranan guru, amalan-amalan pengajaran, penguasaan  pengetahuan serta kemahiran ICT. Kejayaan pelaksanaan  sebarang perubahan dan inovasi dalam pendidikan  sangat bergantung kepada kemampuan guru - guru untuk memfokuskan semula peranan mereka serta menguasai pengetahuan dan kemahiran baru.  Justeru fokus kajian untuk melihat  jawapan kepada persoalan-persoalan berikut :
1) Apakah tahap  pengetahuan  dan kemahiran guru ICT dalam p & p ?
2) Apakah pandangan guru mengenai integrasi ICT dalam p & p ?
3) Apakah perubahan peranan guru kesan integrasi ICT dalam  p & p ?
4) Apakah cabaran yang dihadapi guru dalam mengintegrasikan ICT dalam p & p ?

4.0       OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian bagi persoalan ini ialah :
1) Melihat tahap pengetahuan dan kemahiran guru  untuk integrasi ICT dalam p & p. 
2) Mengetahui  pandangan guru mengenai integrasi ICT dalam p & p.
3) Mengetahui  perubahan peranan guru kesan integrasi ICT dalam  p & p.
4) Mengenalpasti  cabaran yang dihadapi guru dalam mengintegrasikan ICT dalam p & p.


5.0       METODOLOGI KAJIAN  
Responden bagi kajian ini terdiri dari guru - guru mengajar di sekolah luar bandar iaitu sekolah menengah kebangsaan Bakti Tasik Gelugor, Pukau Pinang. Seramai 10 orang responden terlibat yang mengajar dalam pelbagai mata pelajaran di sekolah tersebut. Enam orang responden ialah perempuan manakala 4 lain ialah lelaki. Senarai responden mengikut kod, jantina, mata pelajaran  yang diajar dan tempoh mengajar di lampirakan  di dalam jadual 1.


JADUAL 1: Kod,  Jantina, Mata Pelajaran yang diajar dan Tempoh Mengajar Responden

Kod
Jantina
Mata Pelajaran yang diajar
Tempoh Mengajar
( tahun)
R1
Lelaki
Bahasa Melayu
5
R2
Lelaki
Matematik
10
R3
Lelaki
Sejarah
6
R4
Lelaki
Fizik
4
R5
Perempuan
Fizik
5
R6
Perempuan
Geografi
1 ½
R7
Perempuan
Matematik
9
R8
Perempuan
Bahasa Melayu
2
R9
Perempuan
Bahasa Melayu
4
R10
Perempuan
Matematik
9

6.0       DATA ANALISIS
Kajian ini dilakukan secara kualitatif untuk memberi peluang luas kepada responden memberi pengalaman dan pendapat mereka. Satu borang kaji selidik telah disediakan sebagai kerangka untuk jawapan responden. Tujuannya adalah untuk menggalakkan responden memberi respon akan isu - isu yang dibangkitkan dalam soalan soal selidik. Borang kaji selidik disediakan berdasarkan rujukan perpustakaan mengenai perubahan peranan guru kesan integrasi ICT dalam p & p. Borang soal selidik ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian I mengumpul maklumat demografi para responden seperti jantina, umur, bangsa, tempoh mengajar dan mata pelajaran yang diajar. Bahagian II pula mengumpul maklumat mengenai pengetahuan dan kemahiran guru mengenai ICT, pandangan guru mengenai integrasi  ICT dalam p & p, integrasi ICT dalam p & p, halangan mengitegrasi  iCT dan perubahan peranan guru. Semua responden menjawab soalan secara bertulis
7.0       DAPATAN KAJIAN
Respon dikumpulkan secara bertulis dan disusun mengikut kategori. Antara kategori yang didapati dalam kajian ini ialah  tahap pengetahuan dan kemahiran guru  untuk integrasi ICT dalam p & p,  pandangan guru mengenai integrasi ICT dalam p & p,  perubahan peranan guru kesan integrasi ICT dalam  p & p  dan  cabaran yang dihadapi guru dalam mengintegrasikan ICT dalam p & p.
7.1       Pengetahuan dan kemahiran guru dalam ICT
Semua responden menpunyai pengetahuan dan kemahiran asas dalam menggunakan perisian- perisian pemprosesan perkataan iaitu Microsof Office  terutama Words, Power Point, Excel dan lain - lain.  Begitu juga dengan kemahiran menggunakan peralatan ICT seperti  slaid dan LCD di dalam bilik darjah.  Hanya seorang seorang responden  iaitu R5 mempunyai kemahiran dalam menggunakan perisian Photoshop, Movie Maker dan Express. R4 mempunyai pengetahuan dan kemahiran menghasilkan video dan audio.
 7.2      Pandangan guru mengenai integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
Semua responden bersetuju tentang keperluan menggunakan ICT dalam p & p. Kajian mendapati semua responden memberikan pandangan tentang bagaiman ICT memberikan faedah dalam p &p. R1 mengatakan pengunaan ICT dalam p & p mengikut topik yang diajar dapat mengekalkan minat pelajar dalam p&p. Pelajar didapati memberi perhatian  lebih lama semasa proses p & p dijalankan. Malah,  pandangan ini disokong oleh pandangan oleh R4 dan R10 yang menyatakan pengunaan ICT dalam p & p dapat menarik p & p dan menjadikan proses p & p menarik dan menyeronokkan. R6 menyatakan bahawa integrasi ICT akan memantapkan proses p & p.  ICT juga perlu diintegrasi  kerana dapat meningkatkan kemahiran guru dan pelajar dalam bidang ICT.
“Sangat sesuai digunakan ekoran dengan kemajuan yang dialami masa sekarang”. (R2) 
7.2       Integrasi ICT dalam p & p
Dalam aspek aplikasi, semua responden mengitegrasi ICT dalam p & p. Responden  menggunakan powerpoint, video, laptop dan LCD semasa  p & p mereka.  Para responden juga gemar memilih kaedah pengajaran yang mengintegrasikan ICT dalam p & p   berserta kaedah konvesional seperti “talk and chalk”. Walau bagaimanapun, R7 tidak bersetuju integrasi ICT dalam  p & p. Beliau lebih gemar menjalankan p & p tanpa integrasi kerana beliau mengajar mata pelajaran matematik dikatakan berkesan secara terus kepada pelajar. R10 pula mengatakan integrasi ICT hendaklah bersesuaian dengan subjek dan topik yang diajar kepada pelajar.
7.3       Perubahan peranan guru
7.3.1    Perubahan peranan guru kesan integrasi ICT
6 responden mengatakan terdapat perubahan peranan guru kesan perkembangan ICT dari segi pedagogi.  R8 berpendapat bahawa guru perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam proses p&p. 4 responden yang tidak bersetuju kerana peranan guru tetap sama, yang berubah hanyalah cara penyampaian ilmu kepada pelajar.
7.3.2    Kerelevenan tugas guru
Integrasi ICT dalam p & p memudahkan tugas guru kerana pelajar kini dapat belajar dimana sahaja. Namun begitu,  ICT tidak dapat mengantikan tugas guru. Item soalan 13 menyatakan responden mengenai adakah guru tidak lagi diperlukan  dalam p&p apabila integrasi ICT dimplementasikan. Semua responden tidak bersetuju dan mengatakan guru tetap diperlukan dalam p & p. R9 mengatakan integrasi ICT dalam p & p hanya berfungsi membantu guru dalam memudahkan lagi pemahaman seorang pelajar terhadap sesuatu  p & p. Pengunaan ICT tidak boleh dilakukan tanpa kehadiran guru. R6 dalam p & p guru adalah pembimbing dan dapat berinteraksi secara terus dengan pelajar. R4 mengatakan pelajar memerlukan guru jika tidak memahami sesuatu dalam kandungan p & p. Sebarang permasalahan yang timbul boleh diselesaikan oleh  guru. Kenyataan ini disokong R7 bahawa integrasi ICT tidak memadai kerana tidak semua pelajar dapat memahami apa yang disampaikan dalam p&p. R5 pula menyatakan guru adalah penyumbang ilmu sebenar serta mampu mengawal pelajar dengan berkesan.
7.3.3    Merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar
Semua responden bersetuju bahawa guru  bertanggungjawab merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar. Semua responden bersetuju  dengan item ini. R8 menyatakan dunia semakin memerlukan teknologi dalam menguruskan kehidupan yang semakin canggih. Maka disini adalah perlu bagi guru memastikan pelajar - pelajar disekolah tersebut yang berada luar bandar mendapat pendedahan dan tahu menggunakan ICT. R9 pula mengatakan guru merupakan contoh dan menjadi rujukan kepada  para pelajar. Guru juga bertanggungjawab dalam merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar memandangkan pelajar menghabiskan lebih  banyak masa bersama guru mereka dan peluang ini haruslah digunakan dengan mendedahkan pelajar mengenai ICT.
7.3.4    Kelancaran tugas guru dalam p & p
Seterusnya apabila ditanya bagaimana  pengunaan ICT semasa proses p&p dilihat membantu guru, responden mengatakan integrasi ICT membantu tugas mereka  semasa p &p dan keadaan ini dapat dibuktikan R1  mengatakan ICT membantunya menarik minta pelajar agar dapat memberi tumpuan lebih lama sekaligus melancarkan p&p. Selain itu, integrasi ICT juga dapat menjimatkan masa responden dalam penyediaan bbm serta  masa p &p dari perlu menulis di papan hitam atau putih.  Hal ini,  disokong dengan kenyataan R3 yang menyatakan ICT membantu dari  segi persembahan kandungan pengajaran. Begitu juga dengan R8 yang mengatakan ICT membantunya memberikan pengajaran yang kreatif dan menarik.  Oleh itu,  pelajar memberi  tumpuan dan melancarkan proses p & p. Selain itu, responden mengatakan  bahawa integrasi ICT memudahkan proses pembelajaran, menjimatkan masa dan mengelakkan pelajar  bosan.
“ Ya memang saya ajar fizik, lebih senang nak buat eksperimen jika tunjuk video dahulu”. R4 
            Dari aspek kesesuaian mata pelajaran yang diajar adalah sesuai bagi semua responden. Hal ini ini disokong dengan pelajar memberikan respon yang positif semasa integrasi dijalankan. Antara respon pelajar ialah  mereka didapati lebih memberi perhatian, meningkatkan imaginasi pelajar terutama bagi mata pelajaran fizik.
7.3.5    Beban tugas
Guru mempunyai banyak tugas dan peranan di sekolah. 8 responden mengatakan integrasi ICT tidak membebankan mereka. Hanya dua  responden  mengatakan beban guru bertambah. R6 mengatakan dengan integrasi ICT dia perlu belajar lebih banyak mengenai   ICT untuk membolehkannya mengaplikasi ICT dengan lebih baik dalam p&p. Manakala R8 mengatakan bahawa beban tugas semakin meningkat kerana perlu membawa sendiri alatan ICT seperti komputer riba ke sekolah disebabkan kekurangan kemudahan ICT di sekolah. R6 mengatakan disebabkan perkembangan ICT tugas guru bertambah kerana perlu mempelajari ICT.
7.3.6    Tindakan yang perlu dilakukan guru  mengenai ICT
Oleh sebab ICT sudah menjadi sebahagian daripada p&p, guru perlu meningkatkan diri agar tidak ketinggalan dari teknologi. Bagi item tindakan yang perlu dilakukan oleh guru dalam menghadapi ICT,  semua responden memberi  mengatakan mereka perlu  meningkatkan diri dengan mempelajari meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT, guru juga perlu menunjukkan minat  menggunakan ICT. Selain itu, guru  hendaklah bijak  memilih strategi yang sesuai bagi topik - topik dalam mata pelajaran sama ada menggunakan kaedah konvesional atau integrasi ICT dalam p & p malah guru perlu la kreatif semasa dalam mengintegrasi ICT. R9 mengatakan bahawa guru hendaklah diberi pendedahan mengenai ICT dan diberi latihan ssecukupnya.
 
7.4       Halangan integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
Halangan yang timbul untuk mengitegrasi ICT dalam p & p oleh para responden ialah dari aspek kemudahan untuk mendapatkan peralatan dan tempat yang sesuai (seramai 7 orang responden menyuarakan masalah ini). Kemudahan tersebut ialah seperti komputer riba dan alatan lain-lain.   Tiga orang responden pula mengatakan  mereka berhadapan dengan masalah teknikal yang berlaku semasa dalam melaksanakan p&p yang mengintergrasikan ICT.  Di samping masalah teknikal dan kemudahan yang dihadapi oleh para responden, terdapat juga beberapa cabaran lain  yang dihadapi oleh guru untuk melaksanakan penggunaan ICT dalam bilik darjah. Antaranya ialah dari aspek penerimaan pelajar terhadap penggunaan ICT, prasarana, pengetahuan dan kemahiran yang kurang, sentiasa perlu peka dengan perkembangan teknologi, kekangan masa dan sikap pelajar.



8.0       PERBINCANGAN
Hasil daripada kaji selidik yang telah dijalankan di sebuah sekolah kawasan luar bandar kami mendapati bahawa kebanyakan guru mempunyai kemahiran asas dalam penggunaan perisian pemprosesan perkataan. Selain itu, mereka juga mempunyai pandangan yang positif terhadap integrasi ICT semasa proses P&P. Hal ini demikian kerana integrasi ICT dalam proses p&p membawa banyak manfaat kepada guru.  Kajian mendapati  bahawa pengenalan kepada ICT telah membawa kepada sikap positif pelajar dalam pembelajaran tetapi kemahiran menggunakan komputer dan perisian asas sahaja tidak mencukupi dalam menyediakan strategi pengajaran yang berkesan. Maka guru perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat mengintegrasi ICT dengan lebih cekap dan berkesan .
                Pengintegrasian ICT oleh para responden adalah positif di mana semua responden menggunakan teknologi dalam proses P&P walaupun bukan setiap masa. Walau bagaimanapun, R10 menyatakan bahawa integrasi ICT hendaklah bersesuaian dengan subjek yang diajar.
“ Ya memang saya ajar fizik, lebih senang nak buat eksperimen jika tunjuk video dahulu”. R4 
              Penyataan ini sememangnya tidak dapat disangkal kerana penggunaan ICT dalam proses P&P bagi mata pelajaran sains dapat membantu meningkatkan kefahaman pelajar. Penyataan ini juga dapat disokong oleh kajian yang telah dilakukan oleh Bahrudin Mohamad Bilal & Muhammad Kasim (2001), yang menunjukkan bahawa ICT membantu mengatasi kelemahan pendidikan sains yang diajar secara tradisional serta penglibatan guru dalam penggunaan komputer secara lebih produktif. Walau bagaimanapun  integrasi ICT hendaklah disesuaikan dengan topik yang ingin diajar.
          Holmes (1999), memberi pandangan bahawa integrasi teknologi dalam p &p memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel menggunakan teknologi dalam pengajaran harian bagi mata pelajaran yang diajar. Pengetahuan asas dalam penggunaan teknologi belum mencukupi bagi membolehkan seseorang guru itu mengabungkan teknologi dalam p & p. Elemen yang penting dalam mengintegrasikan  teknologi ialah pemahaman guru terhadap isi pengajaran dan implikasinya dengan teknologi. Penggabungan ICT dalam p & p memerlukan kemahiran dan komitmen guru secara tekal dan berfokus. Peranan guru dalam mengintegrasikan ICT terlibat dalam semua peringkat proses pembelajaran bermula iaitu daripada persediaan sebelum mengajar, semasa dan penilaian selepas proses p & p. Kegagalan guru dalam membuat perancangan teliti akan merugikan pelajar dan menjadikan proses P&P kurang berkesan.
             Walaupun integrasi ICT dapat membantu proses p  & p, namun 2 daripada responden kami berpendapat bahawa perkara ini meningkatkan beban kerja guru. Peranan guru dalam era ini bukan sahaja sekadar menjadi pendidik malah mengalas tanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja pengkeranian, menyediakan bahan bantu mengajar, menguruskan kokurikulum dan melayan karenah ibu bapa, pihak pentadbir dan masyarakat. Penggunaan ICT dalam p &p  dianggap sebagai membebankan mungkin disebabkan oleh dua faktor iaitu sikap guru itu sendiri ataupun kekangan untuk menghabiskan silibus. Daripada kajian lepas, terdapat sebahagian guru yang telah sebati dengan kaedah pengajaran tradisional dan sukar untuk membuat penyesuaian dengan teknologi instructional (Becker & Watt, 1996).
                  Peranan guru masih dominan walaupun ICT telah mengatasi sebahagian besar masalah dan kelemahan pengajaran konventional dan pengajaran tradisional. Guru bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar malah turut menjadi pendorong kepada kejayaan pelajar. Penggunaan ICT dalam pendidikan perlu dianggap sebagai satu alat untuk menyampaikan isi kandungan matapelajaran bukan alat yang mengantikan peranan guru dalam mendidik pelajar. Anggapan bahawa penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan mengurangkan peranan dan bilangan guru kerana teknologi berupaya menyediakan sesi p & p yang lebih canggih dan menarik adalah salah. Proses pembelajaran memerlukan interaksi sesama manusia. Peranan guru sebagai pendidik, pendorong, dan pemberi motivasi tidak dapat diambil alih oleh teknologi.  Namun dalam zaman ledakan ICT guru tidak boleh mengenepikan ICT dalam p&p mereka.
               Seperti yang kita sedia maklum sistem pendidikan di Malaysia menekankan tentang peperiksaan. Oleh hal yang demikian tuntutan terhadap penguasaan silibus oleh pihak pentadbir sekolah, ibu bapa dan pelajar itu sendiri adalah tinggi. Penggunaan teknologi dalam p & p memakan masa yang lama untuk disediakan. Di sini kita dapat melihat perubahan peranan guru pada zaman dahulu yang hanya menfokuskan isi kandungan pengajaran menggunakan kaedah tradisional berbanding tuntutan terhadap penggunaan teknologi dan pada masa yang sama untu menghabiskan silibus.Oleh itu,  guru perlu proaktif  dan bijak menyeimbangkan  integrasi ICT dalam p & p disamping menghabiskan  sukatan kurikulum.
            Bagi guru-guru diluar bandar, mereka secara tidak langsung bertanggungjawab dalam merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar. Maka dapat disimpulkan  guru - guru berperanan menyokong usaha kerajaan merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pendidikan. Jurang digital amat nyata di di dalam sektor ICT. Terdapat jurang di antara yang bermaklumat dan tidak maklumat di kalangan pelbagai kumpulan masyarakat di Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka yang bermaklumat dan kaya tinggal di bandar sementara yang tidak bermaklumat dan miskin di pendalaman.
            Kajian mendapati para responden menganggap  bahawa pelajar  di luar bandar perlu didedahkan pengetahuan dan kemahiran ICT supaya dapat bersaing dalam zaman yang ledakan ICT. Oleh itu, guru - guru  kini telah mempunyai perubahan peranan kesan perkembangan ICT terhadap dunia.  Dua jurang digital tersebut ialah jurang teknologi iaitu menyediakan infrastruktur komunikasi melalui pelbagai teknologi yang kos efektif dan boleh dicapai. Kedua ialah jurang minda iaitu merapatkan jurang minda, masyarakat luar bandar dengan latihan ICT dan kemahiran iCT melalui program kesedaran, penglibatan, pengunaan dan memperkasa komuniti. Maka, perubahan peranan guru ialah untuk membantu   meningkatkan jurang minda dalam kalangan pelajarnya sama ada integrasi ICT dalam  p & p atau di luar bilik darjah. Jurang digital berlaku disebabkan oleh perbezaan pengetahuan dan kemahiran sesuatu kelompok masyarakat. Justeru, guru-guru perlu memastikan diri mereka dilengkapi dengan pengetahuan dan kebolehan menggunakan ICT dan mempunyai kemahiran untuk mengintergarsikan ICT dalam proses p & p.
            Bagi tujuan melaksanakan p&p dengan integrasi ICT , para guru perlu melengkapkan diri mereka dengan perkembangan terkini. Kajian  mendapati bahawa guru-guru bersetuju bahawa mereka perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT agar dapat mengintegrasikan peralatan dan kemudahan ICT  dalam p & p. Tuntutan profesionalisme perguruan kini memerlukan guru-guru mempunyai literasi elektronik dan berkemahiran menggunakan ICT untuk meneroka, mencari  serta mengakses maklumat seterusnya memanfaatkan semula dalam bilik darjah. Oleh sebab ini,  peranan guru berubah dalam   memastikan diri mempunyai pengetahuan dan kemahiran terkini supaya dapat memenuhi keperluan mengintegrasi ICT dalam p & p sekaligus mencapai objektif pengajaran.

9.0       KESIMPULAN         
Secara kesimpulannya, penggunaan ICT dalam bilik darjah dalam konteks ini secara spesifiknya merujuk kepada proses dan pengurusan pembelajaran dan pengajaran. ICT diintegrasikan ke dalam kurikulum sekolah iaitu melalui pelbagai subjek terutamanya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Integrasi ICT ke dalam kurikulum memberi  peluang kepada guru untuk mengaplikasikan ICT dalam subjek-subjek tertentu seperti penggunaan teknologi maklumat dan “computerisation”.  ICT boleh diintegrasikan pada mana-mana tahap dalam roses p&p. Ia boleh digunakan sebagai set induksi, penutup ataupun semasa sesi peneranagan. Pelajar juga boleh mengakses pelbagai laman web untuk mengumpul maklumat, menggunakan email untuk berkomunikasi dan mewujudkan fail ataupun folder untuk rangkaian sekolah.
                Penggunaan ICT dalam pendidikan berupaya meningkatkan potensi diri seseorang pelajar itu dalam pembelajaran terutama bagi mata pelajaran sains. Hal ini demikian kerana, penggunaan teknologi yang terkini mampu untuk meningkatkan kefahaman pelajar terutama pelajar yang belajar secara konkrit. Oleh hal yang demikian, guru sepatutnya melengkapkan diri mereka tentang pengetahuan yang berkaitan dengan ICT. Ini kerana perubahan teknologi telah meningkatkan tuntutan terhadap tugas sebagai seorang guru walaupun terpaksa berhadapan dengan persoalan adakah mereka mampu untuk mengguna dan mengintergrasi ICT dalam pengajaran mereka di samping membimbing pelajar menguasai aras-aras pengetahuan tinggi.
              Tidak dapat dinafikan bahawa dalam mengintegrasikan ICT dalam pendidikan guru berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya kekangan untuk menghabiskan silibus, kekurangan kemudahan, kemahiran dan bahan sokongan. Bagi mengatasi cabaran-cabaran ini pelbagai usaha akan dilaksanakan. Namun, usaha-usaha yang bakal diambil oleh pihak sekolah haruslah disertai dengan keterbukaan guru dalam menerima pembaharuan dan cabaran baru.




RUJUKAN

Bahrudin Aris, Mohamad Bilal & Muhammad Kasim Basir. 2001. Pembelajaran fizik secara kolaboratif menggunakan laman web dan internet. Virtec Journal,1-1
Becker, W.E & Watts, M. 1996. Chalk and Talk:  A National Survey on Teaching Undergraduated Economics. American Economic Review, 86(2) 448-453
Chung, M.H.C & Jamaludin Badusah. 2010. Sikap guru bahasa melayu terhadap pengunaan     teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT) dalam pengajaran di sekolah-sekolah rendah            di Bitulu, Sarawak. Jurnal Pendidikan Malaysia 35(1): 59-65.
Engkizar Maritas. 2010. Pentingnya  integrasi ICT dalam proses pengajaran dan            pembelajaran   pendidikan islam. P51186. Tesis  Sarjana Muda, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Holmes, W. 1999.  The transforming Power of Information Technology. Community                  College Journal, 70(2): 10-15
Janudin Awang. 2008. Siri Penerbitan Aliran Terkini Sumber dan          Teknologi Maklumat dan          Komunikasi. Bangi: Penerbit  Universiti  Kebangsaan Malaysia.
Norton,P. & Wiburg, K. M. 2003. Teaching with technology. Edisi ke-2. University of Michigan:          Thompson / Wadsworth.
Mohd Arif bin Ismail & Rosnaini Hj. Mahmud. 2008. Siri Penerbitan Aliran Terkini Sumber dan            Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan        Malaysia.
Lokman Mohd Tahir, Mohd Anuar Abd Rahman, M     . Al-Muzammil Yassin & Phoon Ai Ling.           2010.  Penilaian guru sekolah rendah terhadap peranan guru besar sekolah sebagai         pemimpin teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT) . Asia Pacific Journal of Educators            And Education , Vol. 25, 169-188.
Saipo Ayub. 2005. Guru Menghadapi perubahan. Jurnal Penyelidikan IPG Kampus Pendidikan Islam.  http://www.ipislam.edu.my/uploaded/file/saifo.pdf. [ 11 Mei 2012].
Salbiah Ismail. 2003. Trends and perspective of utilization of ICT in the classroom in Malaysia,                                  Indonesia, Malaysia, Thailand and Philippines. Jurnal BTP 5(4): 42-50                                           
Aspirasi Digital Online. 2012. Inisiatif kerajaan dalam usaha merapatkan jurang digital. http://www.aspirasidigital.net.my/maintemplate02.asp?contentid=1. [ 11 Mei 2012]

No comments:

Post a Comment